Anak kedua kami, Marissa Nur Humaira. Lahirnya pada 29092011, usianya baru menginjak 4 bulan, 4 hari yang lalu. Dia antara kurniaan yang menjadi salah satu hajat isteri saya sebelum kedatangannya ke Oslo. Dia menyimpat hajat, kalau ada rezeki dia mahukan seorang anak dilahirkan di Norway. Sambungnya lagi, sebolehnya anak itu adalah anak perempuan. Kerana kami sudah punya seorang anak lelaki, CM Adam Irfan dan MN Humaira dia mahukan sebagai pelengkap. Baginya sepasang sudah cukup melengkapi. Tidak pernah kami lupa untuk mengungkapkan rasa syukur kepada pemilik sebenar diri kami dan anak-anak kami yang sebenarnya cuma dipinjamkan olehNya untuk kami merasa kehidupan bekerluarga. Dipinjamkan rasa bahagia supaya kami bersyukur.
Sebelum itu, saya perlihatkan wajah anak kedua kami, juga banyak diselitkan dalam laman muka buku isteri dan sedikit dalam laman muka buku saya sendiri.
Terima kasih ibu kerana melahirkan saya! |
Wajahnya sukar untuk diteka iras siapa, mungkin banyak memihak kepada isteri saya. Tidak mengapa, Humaira ikut paras rupa siapa pun bukan masalahnya.
Siapa namakan kamu Marissa Nur Humaira? (untuk anak kami baca bila dia sudah dewasa kelak)
Ibumu. Kerana ibumu sangat mahukan nama Humaira jika dikurniakan anak perempuan. Pada ibu, Humaira lembut panggilannya. Pada mulanya dia cuba menyusun namamu sebagai Nur Izzah Humaira. Izzah itu sekali lagi untuk menyamakan pangkal nama semua ahli keluarga kita pada asalnya. Lantas Imran, Intan, Irfan dan Izzah amat sesuai dan cukup unik. Nama itu ibu letakkan rasanya sebelum benih kamu wujud lagi. Pada abah, itu sudah lengkap sehinggalah pada suatu masa abah terdengar nama Arissa. Bila waktu mencari maksud nama Arissa, abah terjumpa nama Marissa yang juga menarik. Lantas abah ajukan pada ibu dan ibu bersetuju. Nama kamu kemudian disusun semula kepada Marissa Nur Humaira yang asalnya Nur diletakkan di pangkal nama, kini diletakkan di tengah.
Apa maksud namamu?
Marissa - Seorang yang bersopan santun
Nur - Bercahaya
Humaira - Putih kemerah-merahan
Ringkasnya, ibu mahukan kamu menjadi seorang anak yang baik, punya pekerti mulia, yang menjadi cahaya untuk ibu dan abah. Dan sehalusnya panggilan mu Humaira, kasihnya seorang Rasul kepada isterinya Aisyah.
Di hari kelahiran Humaira...
Saya mengambil cuti lebih awal dengan tidak hadir ke kampus dan membuat kerja dari rumah sahaja. Pada pagi 29092011, isteri berkata seolah ada tanda untuk melahirkan anak mungkin pada hari itu. Seingat saya rasa sakit kerap bermula jam 4.00 petang, dan saya merekodkan kekerapan sakit tersebut, dicatatkan berapa minit selang masa sakit dan berapa lama setiap kali sakit datang. Itu penting untuk melihat kekerapannya, senang bila telefon hospital boleh terus beritahu tentang kekerapan sakit dan midwife boleh terus decide sama ada isteri saya sudah bersedia untuk melahirkan atau tidak. Sekiranya bawa isteri ke hospital dan diperaku bahawa isteri belum bersedia untuk bersalin walaupun sudah merasai sakit, berkemungkinan diminta untuk pulang semula ke rumah. Itu dikecualikan sekiranya isteri sudah pecah air ketuban.
Di labour room selama 2 jam, dan saya masih ingat waktu itu saya mendokong Irfan menemani isteri ditepi katil. Saya tidak sempat untuk minta rakan-rakan di sini untuk menjaga Irfan kerana peristiwa berlaku sangat pantas. Nasib juga saya bawa ipad dan Irfan boleh tonton youtube dan itu sudah boleh melegakan kerisauan saya sekiranya Irfan mahukan ibu di saat-saat genting itu. Syukur, Irfan memahami tatkala saya bawa dia keluar dari labour room setelah mendapat perkenan midwife kerana risau anak kecil itu trauma dengan jeritan kuat ibunya. Saya tinggalkan isteri bersama 3 orang midwife di dalam bilik tersebut.
Dalam leka melayan Irfan, midwife datang dan beritahu bahawa isteri saya sudah selamat melahirkan. Semuanya selamat.. Alhamdulillah. Semuanya berlaku dengan lancar, Allah permudahkan kelahiran Humaira. Tiada sesen pun dibayar untuk kos kelahiran tersebut. Bolehkah kami dapat kos melahirkan anak percuma di Malaysia? Doa saya supaya kerajaan akan sediakan kemudahan itu untuk generasi anak-anak kami kalau pun kami tidak dapat merasainya di tanahair sendiri.
Masih banyak yang mahu saya ceritakan, mungkin di episod lain. Pengalaman ini sangat indah.. Betapa pemurah dan penyayangnya Allah kepada setiap hambanya. Kadang-kadang kita rasa tidak senang dengan takdir Allah, walhal itu lah yang sebenarnya terbaik untuk kita. Redha lah atas takdirNya, nescaya dirimu akan tenang. Nanti saya ceritakan!