Pages

Saturday, May 26, 2007

Pensyarahku, teman hidupku...

Oleh Fairuz Zaidanfairuzaidan@bharian.com.my

Hubungan kemesraan di bilik kuliah berakhir di jinjang pelaminSIAPA sangka, guru yang selama ini mendidik anda, memberi pelbagai sumber ilmu, kata-kata perangsang dan perhatian umpama keluarga sendiri akhirnya menjadi pasangan hidup anda.
Tentunya sedikit janggal bagi sesetengah orang. Tidak kurang yang melihat perhubungan itu seprti tidak betul, salah dan tidak boleh. Tetapi, senario itu bukanlah sesuatu yang asing khususnya di peringkat pengajian tinggi.
Pensyarah Psikologi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Khaidzir Ismail berkata, senario sebegitu bukanlah suatu benda baru malah diakui berlaku di dunia akademik khususnya di peringkat universiti.
Beliau berkata, walaupun angka membabitkan perkahwinan antara pensyarah dan pelajar tidak tinggi, ada kalangan pihak tertentu yang sengaja mensensasikan berita itu seolah-olah ia perkara yang tidak baik.
Hakikatnya, kata beliau, perhubungan pensyarah dan penuntut itu harus dilihat dari aspek keikhlasan dan kesungguhannya.“Kita kena melihat juga adakah perkahwinan itu membabitkan pensyarah muda dengan pelajar atau juga pensyarah yang sudah berkahwin tetapi ingin menyunting pelajar sebagai isteri kedua.
“Mungkin bagi pensyarah muda yang kita lihat semakin ramai di universiti tentu ia bukan menjadi isu tetapi tidak jika ia membabitkan pensyarah yang sudah berkahwin.
Hubungan erat antara pendidik dan pelajar memberi ruang untuk mengenali hati budi, seterusnya membawa kepada ikatan perkahwinan yang sah. Dr Khaidzir juga tidak menolak paras rupa dan cara berinteraksi pelajar dengan pensyarah memungkinkan pensyarah mudah tertawan manakala pelajar mudah tertarik dengan sifat matang pensyarah yang tentunya lebih dewasa.“Apatah lagi memandangkan usia pelajar perempuan yang kebanyakannya berusia 20-an, manakala pensyarah pula mencapai usia pertengahan abad, yang memang dikenali sebagai pertukaran hormon bagi lelaki yang sukakan perhatian yang lebih,” katanya sambil menambah kebanyakan perkahwinan pensyarah-pelajar membabitkan pensyarah lelaki dan pelajar perempuan, berbanding pensyarah wanita dan pelajar lelaki.
Tetapi, adakah semua perhubungan dan perkahwinan itu benar-benar dijalin atas dasar cinta yang tulus, suci dan ikhlas? Bagaimana pula jika ada pelajar yang mengambil kesempatan `mendekati’ pensyarah semata-mata untuk mendapat markah baik dalam peperiksaan?Senario ini sesuatu yang biasa di kalangan penuntut di Afrika Selatan, menurut satu kajian. Tetapi kata Dr Khaidzir, bukan di negara ini. Berdasarkan kajian, tidak ramai penuntut di negara ini yang mengambil pendekatan begitu, merayu, membodek dan memberi cinta palsu hanya untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan.
Sebagai pendidik, katanya, guru atau pensyarah harus menjaga kredibiliti dan meletakkannya di tahap tinggi serta tidak diperlekehkan.“Seorang pensyarah tidak harus lemah dengan daya kelembutan pelajar dan kata-kata manis semata-mata untuk meraih gred yang lebih tinggi. “Tidak harus ada perbezaan jantina, paras rupa dan penampilan dalam memberikan gred markah, sebaliknya harus menilai daripada segi usaha pelajar itu dalam menyiapkan latihan dan kerja yang diberikan.“Secara peribadi, saya seorang yang tegas dalam mendidik pelajar tetapi pada masa yang sama turut mengambil berat masalah pelajar di bawah jagaan saya,” katanya.Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM), Prof Dr. Muhamad Naim Kamari berkata, sebagai pensyarah yang mempunyai 17 tahun pengalaman mengajar memang tidak dapat dinafikan berlaku keadaan yang mana pelajar berusaha untuk mendapatkan lebih markah.Namun, dia tidak melihat `usaha’ pelajar itu sebagai bodek sebaliknya `mengambil hati’ pensyarah.
“Tidak salah untuk pelajar berusaha mendapatkan peluang lebih mendapat markah, tetapi bukan mudah untuk diberikan saja jika tidak melakukan beberapa tugasan tambahan.“Saya sentiasa mengingatkan pelajar saya supaya tidak membuat sambil lewa segala kerja kerana mereka menuntut berbayar dan jangan sesekali mempersiakan peluang untuk belajar,” katanya yang terkenal cukup tegas kepada anak murid.
Beliau berkata, sebagai pendidik yang berpengalaman dia akan meletakkan tiga paras pencapaian akademik pelajarnya iaitu cemerlang, sederhana dan lemah dalam menentukan kemampuan sebenar pelajar menjawab setiap soalan.
Katanya, perlu untuk seorang pensyarah mengambil kira kemampuan pelajar, khususnya dalam bidang akademik bagi membantu mereka bersaing dengan pelajar lain.“Tidak semua pelajar yang hadir di dalam satu kuliah pandai-pandai belaka kerana ada juga pelajar yang tidak memahami apa yang diajarkan.“Malah, selalunya pelajar yang cemerlang dan nakallah yang sering mencuri perhatian dan dikenali pensyarah sampai bila-bila,” katanya.Pensyarah Akaun & Kewangan KUTPM, Wan Masliza Wan Mohammad, pula berkata dalam konteks membodek, ia bergantung kepada setiap pensyarah dalam memberikan tugasan kepada pelajar.

PELAJAR sentiasa berdepan dengan cabaran menuntut ilmusebelum berjaya menggenggam segulung ijazah.“Sebagai pensyarah, kita boleh tahu kemampuan sesetengah pelajar dalam menyiapkan tugasan yang diberi. Daripada situlah kita boleh menilai kesungguhan dan kredibiliti mereka dalam usaha dalam pelajaran.
“Ini semua berkisar mengenai psikologi. Di sinilah tugas pensyarah untuk mewujudkan pembelajaran yang menyeronokkan dalam kuliah,” katanya.
Wan Masliza berkata, pensyarah juga perlu menyelami karektor setiap pelajar yang mungkin mempunyai masalah dalaman sehingga gagal mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.“Kita tidak tahu kemungkinan mereka daripada keluarga yang bermasalah, ibu bapa bercerai atau mempunyai masalah kewangan. Tidak harus mempersalahkan terus pelajar, termasuk memberi markah yang rendah tanpa melihat punca kemerosotan akademik.“Inilah penting adanya program mentor-menti (pensyarah-pelajar) dalam mengeratkan hubungan dan interaksi antara pensyarah dan pelajar,” katanya yang mempunyai 30 menti di bawah jagaannya.Pendapat yang sama turut dipersetujui Pensyarah Bahagian Perhotelan KUTPM, Mohd Rohimi Abdul Halim yang tidak mahu pensyarah dilabel sebagai `kejam’ dalam memberikan keputusan gred kepada pelajar.
“Pensyarah tidak sesuka hati menentukan keputusan peperiksaan pelajar, tetapi daripada segi tugasan dan aktiviti tambahan mungkin boleh membantu pelajar dalam mencatat mata tambahan,” katanya.Mohd Rohimi yang mengajar pelajar jurusan diploma, berkata selaku pensyarah dirinya tidak hanyut dengan politik pelajar yang ada kalanya cuba merayu untuk mendapatkan jumlah markah yang lebih.Selaku seorang profesional, Mohd Rohimi bertegas pensyarah seharusnya menjaga kredibiliti supaya tidak mudah diperalatkan janji manis pelajar.
Anda bodek pensyarah?“BUKAN istilah membodek dengan harapan untuk mendapat markah yang lebih, tetapi setidak-tidaknya jika sering bertemu dengan pensyarah interaksi dan perhatian akan lebih rapat dan mengurangkan jurang antara pelajar dan pensyarah.“Lebih-lebih lagi bila pensyarah memberikan panduan dan tips menjawab soalan tetapi itu semua kenalah berpada-pada dan tidaklah sampai memberi jawapan dalam peperiksaan.”
Ummi Hani Salam, 22, penuntut Ijazah Pengurusan Perhotelan.
“SUDAH menjadi kebiasaan bagi saya untuk menghadap pensyarah setiap kali ingin mendapatkan info tambahan selepas waktu kuliah. Malah, bukan saya saja, semua pelajar akan berbuat demikian untuk bertemu dengan pensyarah secara berkumpulan.“Cara ini bukan saja membantu mendapatkan tips dan panduan, tetapi membuktikan kesungguhan kami untuk mengejar ilmu pengetahuan.”Wan Nuraimi Wan Aziz, 21, penuntut Diploma Teknologi Perubatan Makmal

No comments:

Post a Comment