Ketidakpastian adalah lumrah. Esok masih ada, awan mendung menandakan hujan, ekonomi negara tetap kukuh adalah suatu ketidakpastian. Begitulah ironinya kehidupan, indahnya Tuhan yang membiarkan banyak perkara tanpa ada jawapan atau penyelesaian. Manusia yang punya akal akan cuba dan terus mencuba mencari jawapan kepada ketidakpastian.
Istilah Inggeris menyebut uncertainty sebagai ketidakpastian. Bila ditaip perkataan tersebut dalam pencarian yahoo atau google, maka berlambaklah artikel yang akan keluar. Sedari tahun 2003 aku mengenali erti ketidakpastian dan sehingga sekarang tidak pasti itu begitu luas dan tinggi nilainya. Sesuatu yang tidak pasti boleh mendatangkan derita dan bahagia. Sang gadis menanti cinta rangga yang tidak pasti bakal berdepan risiko. Risiko itu boleh jadi cinta rangga diperoleh atau cinta sang gadis ditolak. Kalau berjaya diraih, maka bahagia lah sang gadis namun kalau cintanya ditolak, maka derita harus ditanggung.
Dalam dunia global, arus kemajuan harus dihadapi. Dunia sekarang dicengkam kemelesetan ekonomi sehingga beribu-ribu umat manusia diberhentikan kerja dan terpaksa mengganggur. Lebih parah lagi kerana ada sang anak yang perlu diberi makan dan minum selain diri sendiri. Itulah ironinya ketidakpastian. Tiada siapa mampu menduga itu semua akan terjadi. Kalau ada, dia lah penyelamat dunia. Namun, agak kelakar bunyinya kalau ada orang yang boleh menduga semua melainkan Allah yang maha Esa.
Kerana itu, hikmah sudah terjawab. Kalau diberikan Allah, ketidakpastian adalah kepastian (certainty) maka semua orang sudah pasti hilang pedoman, tidak mengenal akan Tuhannya. Kerana ketidakpastian, manusia mengangkat kedua belah tangan memohon supaya dimakbulkan, kerana ketidakpastian, manusia bangun menunaikan solat hajat dan kerana ketidakpastian manusia sentiasa hidup dalam beriman. Orang beriman akan sentiasa bersedia kerana takut esok sudah tiada.
Namun, merancanglah. Teruskan dengan impian dan sentiasa bermohon semoga impian itu menjadi kenyataan dan ketidakpastian itu menjadi kepastian. Wallahualam.