Masih segar diingatan saat Adam Irfan dilahirkan kerana waktu itu saya berdamping di sisi isteri kesayangan, memberi sedikit semangat untuk bakal ibu melalui saat-saat sukar tersebut. Alhamdulillah, dia seorang isteri yang kental dan itulah dambaan saya sejak daripada dahulu.
Saya sampai di Oslo pada 11.11.2010 meninggalkan isteri dan anak di Malaysia. Pada tarikh 11.12.2010 mereka sampai di Oslo dan saya menyambut mereka di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam pada jam 6.00 pagi (agak sahaja). Dia kelihatan penat maklumlah perjalanan jauh bersama anak kecil dan beg-beg berat. Adam langsung tidak senyum (mungkin kerana penat) dan tidak pula mahu saya memegangnya. Hanya selepas beberapa minit bersama, barulah Adam peduli akan kehadiran saaya. Mungkin dia merajuk kerana ditinggalkan sebulan yang lalu.
Sekarang sudah hampir 4 bulan mereka di sini (saya sudah masuk bulan ke-5). Mereka berdua menghabiskan masa seharian di rumah sementara saya ke universiti berjuang untuk impian yang membawa kami ke sini. Saya selalu fikir akan kebosanan isteri di rumah (tapi rasanya dia masih boleh berkawan dengan anak), namun isteri tidak pernah mengeluh bosan. Saya faham benar! Hujung minggu saya hanyalah untuk beristirehat bersama mereka, berjalan-jalan di sekitar Oslo dan membeli belah (walaupun kewangan kurang mengizinkan). Itu pun sudah cukup menghiburkan!
Saya sangat seronok bersama mereka. Gelagat anak kami setiap hari sudah mampu menghilangkan stress belajar saya (mungkin isteri lebih stress melayan karenah anak setiap masa). Anugerah terindah sepanjang hidup saya yang tidak pernah saya sangkakan. Formulasi mudah hidup kami sekarang Imran + Intan + Irfan = 1. Dalam teori set, semua unsur boleh disatukan membentuk set semesta U. Nilai 1 bermakna lengkap dan sifar sebaliknya. Konsep pelengkap mentakrifkan bila unsur (contohnya Imran) berada dalam sesuatu set U, maka pelengkapnya (Intan + Irfan) juga berada dalam set tersebut. Mungkin takrif ini lebih lengkap dengan definisi sigma algebra (kena rujuk buku berkaitan atau wiki). Apabila Adam sudah punya adik-adik nanti, formulanya mungkin Imran + Intan = 1 – sum (II_anak) dengan II mewakili Imran Intan, hasil tambah bilangan anak = 1, 2, ..., 5.
Lima fakta yang suka saya kongsikan:
1) Isteri sudah gemar memasak dan tahu pelbagai jenis masakan
Saya sangat suka bila isteri masak berlainan menu setiap hari dan hujung minggu pula dapat menu ekstra yang lebih istimewa termasuk kek dan puding.
2) Adam sudah kenal, tahu ibu dan rindu abah
Adam sudah pandai menyebut abah dan ibu.. cuma sebutan ibu kadang-kadang menjadi Abu (sedangkan ibunya seorang perempuan). Setiap hari saya ke universiti, saya akan terima panggilan daripada isteri yang sebenarnya Adam memintanya menelefon saya. ''Bu.. bu.. pon abah''.. itu lah ayatnya bila dia mahu bercakap dengan saya.
3) Adam suka menonton lagu Rindu Muhammad
Setiap kali keluar iklan haba haba (nyanyian Stella Mwangi) di televisyen (bibi pada sebutan Adam), dia pasti akan bangun menari-nari. Dan bila dikenalkan dengan lagu tersebut di youtube, setiap pagi dia akan meminta untuk menonton haba haba. Saya fikir nyanyian tersebut sangat tidak sesuai untuk dia (juga untuk kami), jadi ibu kenalkan dengan lagu Rindu Muhammad. Bila bangun pagi, dia akan meminta lagu haba haba, tetapi sebenarnya dia mahukan lagu Rindu Muhammad. Dialog Adam... ‘Bah, lagu baba yeay.. lagu baba yeay’.
4) Adam tidak kedekut
Dia suka membahagi-bahagikan makanan. Setiap kali dia makan, dia mesti suapkan sebahagian kepada ibu dan sedikit kepada abah dan dia tidak suka orang menolak ajakan untuk makan bersama. Mahu atau tidak, kami tetap akan makan bila dia makan.
5) Adam nak dapat adik
Mungkin hujung bulan 9 atau awal bulan 10 nanti Adam akan jadi abang. Isteri mengharapkan anak perempuan tapi intuisinya mengatakan anak lelaki. Berserah sajalah.
Itulah kisahnya kami sekarang.