Pages

Thursday, September 28, 2006

Hikmah Puasa Dan Qiyam Ramadhan (Part 2)

Satu sumbangan besar ibadah puasa Ramadhan kepada manusia adalah dalam membantu mengatasi masalah merokok. Ramai perokok sering kali memikirkan untuk berhenti dari merokok dan sebahagian besar telah pun mencubanya beberapa kali. Kebanyakan mereka sedar yang merokok itu merosakkan kesihatan mereka dan juga menjejaskan kesihatan orang-orang di sekeliling mereka. Melalui kajian-kajian, didapati 70 peratus dari perokok-perokok ternyata telah pun mencuba berhenti merokok dan 40 peratus dari perokok-perokok mencuba berhenti setiap tahun. Kita telah kenal pasti sebab-sebab yang menyukarkan seseorang untuk berjaya berhenti merokok dan di antara punca utama ialah sifat ketagihan terhadap nikotin, suatu bahan yang terdapat dalam kandungan asap rokok. Perokok mengalami kesukaran berhenti merokok kerana tubuhnya yang telah terbiasa dengan dadah nikotin yang mana ketiadaannya dalam masa dua hingga empat jam akan mula mengalami gejala gian. Walaubagaimanapun, pada bulan Ramadhan al-Mubarak seorang perokok yang kuat sekalipun boleh berhenti merokok mulai dari sahur hinggalah masa berbuka yang melebihi 12 jam. Ini adalah satu perkara yang tidak dapat dijawab dengan ilmu sains kerana mengikut keadaan biasa setelah dadah nikotin dalam darah menurun beberapa jam, otak akan memberi arahan meminta tambahan nikotin. Perkara ini tidak berlaku semasa bulan Ramadhan kerana perokok-perokok boleh berhenti melebihi 12 jam tanpa merokok.

Sebenarnya terdapat banyak faktor yang memudahkan seseorang untuk berhenti merokok pada bulan Ramadhan. Antara lain adalah suasana harian masyarakat Islam yang berubah pada bulan Ramadhan. Suasana di tempat kerja, di pejabat, di rumah pada waktu siang dan malam berbeza jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Kita dapati peluang dan keadaan yang baik untuk berhenti merokok wujud kerana tiada suasana yang mana perokok itu selalu merokok seperti selepas makan pagi, tengah hari bersama-sama dengan kawan sekerja seperti pada hari-hari lain. Adalah diharapkan agar kita dapat membantu lebih satu juta rakyat Malaysia beragama Islam yang merokok untuk berhenti merokok sempena bulan puasa Ramadhan al Mubarak tahun ini.

No comments:

Post a Comment