Alhamdulillah. Dengan kecukupan rezeki yang telah Allah kurniakan, dengan pelbagai nikmat yang telah Allah anugerahkan, kenikmatan bertemu Ramadhan Al-Mubarak harus disyukuri dengan sewajarnya. Kenapa sewajarnya? Kenikmatan bersua Ramadhan sekali lagi yang mungkin merupakan Ramadhan yang terakhir bagi setiap jagat manusia haruslah dimanafaatkan dengan sebaik yang terdaya. Pada saya, pengisian Ramadhan merupakan asas penting yang merupakan sumber keberkatan bulan ini. Dipetik daripada laman blog fadhilatramadhan atau boleh juga dirujuk dalam blog imanakhir, perkataan Ramadhan yang asalnya daripada sukukata 'ra','mim' dan 'dal' adalah membawa maksud 'panas yang menyengat' dan bulan khusus ini merupakan
'waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering
dan tekak terasa haus disebabkan sedang berpuasa'.
Apakah pula perkaitannya Ramadhan dan puasa yang diistilahkan dalam gagasan Melayu Raya (Malaysia-Indonesia-Brunei), danjiki dalam istilah Jepun atau poso yang dipraktikkan oleh Melayu-Kelantan dan Melayu-Kelantan-Norge? Mengikut istilah Arab, 'siyam' atau 'soum' adalah istilah selari makna dengan puasa yang dimaksudkan sebagai "menahan diri daripada segala perkara yang dilarang oleh Allah serta mengikut semua perintahNya kerana takwa kepada Allah S.W.T".
Tajuk entri ini bukannya berkaitan Ramadhan secara langsung, namun setelah mendapat sapaan daripada seorang teman yang terang mengatakan saya salah apabila mengatakan saya perlu 'cari masa' untuk bertahajjud di waktu gelap malam di bulan Ramadhan. Teman itu berpendapat, saya harus tetapkan masa untuk bangun bertahajjud, bukan 'mencari masa' untuk bertahajjud. Dan jelasnya saya akur akan kekhilafan itu. Dengan tujuan dilahirkan manusia ke dunia ini, tiada matlamat lain yang Allah jelaskan sebagaimana firman Allah dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku".
Namun salahkah bila saya berkata saya perlu cari masa untuk bertahajjud? Saya akur kehidupan sebagai seorang yang bergelar pelajar pascasiswazah memerlukan pembahagian masa yang sangat rapi dalam pengaturan hidup setiap hari. Waktu harian saya hampir 41.6% dihabiskan di universiti yang juga merupakan suatu ibadat kerana menuntut ilmu, 25% untuk tidur yang cukup, 12.5% untuk ibadat khusus, dan selebihnya waktu di atas t-bane berulang alik ke universiti yang saya rasa juga merupakan suatu ibadah, dan waktu bersama keluarga yang juga saya rasa adalah ibadat dengan melayan isteri dan anak (tidak termasuk waktu berblog dan berFB). Jadi, cukupkah waktu harian saya untuk maksud sebenar didatangkan saya ke dunia ini? Wallahualam.
Pada saya, teman saya itu pada prinsipnya betul. Dia mengingatkan saya untuk bangun bertahajjud dan bukan mencari masa untuk bertahajjud, seolah saya sedang lalai dengan ibadat umum yang saya lakukan. Musim panas (summer) di Norway dengan siangnya yang sangat panjang dan malam yang cukup singkat pada dasarnya tidak menghalang untuk sesiapa pun bertahajjud namun cabarannya sangat besar. Bayangkan solat terawih yang kebiasaannya berakhir pada jam 12.15 tengah malam (kerana waktu Isya' masuk lewat), dan tidur sekejap untuk bangun jam 2.30 pagi untuk bersahur. Setakat ini saya masih tidak mampu untuk tidur sekejap dan bangun bertahajjud dan langsung bersahur seterusnya kerana saya akan hanya tidur paling lama sejam setengah dan agak susah (walaupun tak mustahil) untuk bangkit daripada tidur yang singkat di malam hari.
Teringat saya bila pernah orang mengatakan "mereka perlu curi masa untuk solat" dengan kekangan waktu kuliah dan kesibukan kerja. Istilah itu pada hemat saya, baru boleh dikategorikan sebagai salah kerana seolah kita tidak cakna dengan ibadat solat yang wajib. Jadi istilah saya 'cari masa' itu pun tidak lah berapa betul dan tidaklah berapa salah. Yang lebih salah adalah men'curi masa' untuk beribadat. Dengan demikian, perlu disematkan dalam diri untuk bangun bertahajjud dengan keupayaan yang ada walaupun tahajjud adalah ibadat sunat. Pada mereka di Malaysia, yang punya kelapangan kerana waktu di sana agak teratur, mampukan anda untuk bangun bersolat tahajjud khususnya pada bulan Ramadhan ini? Marilah sama-sama kita ikhtiarkan supaya dapat kita penuhkan Ramadhan tahun ini dengan pengisian yang sewajarnya. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment